PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menjelaskan pihak jawatankuasa “akan” mengadakan pertemuan dengan NGO bukan Islam berkait kajian kompetensi DUN menggubal undang-undang Islam.
Ia termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali RUU355.
Kenyataan itu menjawab penafian Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang terdahulu menyatakan, tiada libat urus dibuat, sambil Zulkifli menjelaskan “jemputan secara rasmi telah dihantar kepada semua pertubuhan bukan Islam tersebut.”
Katanya, hal itu selaras pendirian kerajaan perpaduan yang terbuka memastikan agar libat urus dibuat dengan pelbagai pihak bagi memastikan setiap isu diselesaikan dengan baik.
“Seperti kita sedia maklum, undang-undang syariah yang sedang diperkasakan hanya terpakai untuk mereka yang beragama Islam sahaja,” katanya.
Semalam dalam sidang Dewan Rakyat, Zulkifli dilaporkan berkata libat urus dibuat merangkumi CFM, National Evangelical Christian of Fellowship Malaysia, Persatuan Agama Taoism Malaysia, Sri Maha Mariamman Temple, Malaysia Hindu Sangam, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Jabatan Premier Sarawak, dan beberapa badan lain.
Menjelaskan perkara itu, beliau menegaskan istilah digunakan adalah “akan”, dan bukannya “telah” diadakan berkait libat urus dengan beberapa NGO bukan Islam.
Pagi tadi, Pengerusi CFM Cor Episcopa Philip Thomas, berkata tiada libat urus dibuat atau melibatkan apa jua komponen badan itu, seperti dilaporkan dibuat Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Menggubal Undang-Undang Islam.
CFM mewakili majoriti Kristian di Malaysia, dengan tiga komponen utama membabitkan Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia, Majlis Gereja-Gereja Malaysia, dan National Evangelical Christian Fellowship.