ylliX - Online Advertising Network
Kes polis langgar pelajar: 5 video kemalangan ditayang di mahkamah

Kes polis langgar pelajar: 5 video kemalangan ditayang di mahkamah


Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di jalan berhampiran SMK Jati, Ipoh, pada 15 Dis tahun lepas. (Gambar Bernama)

IPOH: Hari kedua perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis yang dituduh membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima menyaksikan tayangan lima video memaparkan insiden didakwa menjadi punca kematian mangsa pada 15 Dis tahun lepas.

Kesemua video ditayangkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memanggil saksi pendakwaan ketiga, Pegawai Siasatan Forensik Makmal Polis Nur Fairuz Idris yang menjalankan pemeriksaan dan analisis berhubung rakaman insiden itu.

Rakaman itu antaranya memaparkan sebuah kereta putih yang dipandu laju melanggar motosikal ditunggang seorang individu yang kemudian terjatuh di atas jalan raya sebelum dikerumuni orang ramai di lokasi kejadian.

Beberapa video yang dipapar adalah daripada kamera papan pemuka kereta yang menunjukkan insiden selepas mangsa dilanggar selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada dua rumah di kawasan berhampiran.

Nur Fairuz berkata, pihaknya menerima rakaman itu daripada pegawai penyiasat serta diminta untuk memegunkan imej.

Sebanyak 24 gambar telah dikeluarkan daripada lima rakaman berkenaan, tambahnya.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di jalan berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis 2023.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Saksi pendakwaan kelima, Shahiran Mohamad iaitu jurugambar Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh pula memaklumkan, beliau mengambil 35 keping gambar, antaranya lokasi kejadian serta kenderaan yang terlibat.

Tambahnya, antara gambar yang turut diambil termasuk gambar kecederaan mangsa di bahagian muka dan tangan kanan, serta keadaan jasadnya sebelum bedah siasat di jabatan forensik Hospital Raja Permaisuri, Ipoh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung esok.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *