KUCHING: Lapan lelaki yang dilaporkan hilang setelah keluar memancing dari Jeti Semariang Batu dengan sebuah bot pada Selasa lalu ditemukan dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Kuching Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemukan bot yang dinaiki semua lelaki itu pada 1.45 tengah hari tadi.
“Bot pancing tersebut kemudian ditunda kembali ke Jeti Semariang Batu dan semua mangsa tiba dengan selamat pada 5.25 petang.
“Punca kejadian adalah disebabkan masalah enjin bot yang dialami semasa perjalanan pulang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu hari ini, Pengarah Maritim Sarawak Kamal Ariffin Jusoh berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan kehilangan bot bersama tiga kru dan lima pemancing yang berusia 17 hingga 67 tahun itu pada jam 5 petang semalam.
“Menurut maklumat yang diterima daripada salah seorang anak mangsa, mereka sepatutnya pulang ke jeti pada Khamis pada jam 2 petang,” katanya.