PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Bersatu berkata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu memberi penjelasan lanjut dan telus mengenai asas bantahan yang mendorong ‘perubahan’ keputusan pemilihan sayap itu.
Setiausaha Kerja Meor Naqiuddin berkata perwakilan akar umbi berhak mengetahui isu sebenar kiraan undi yang didakwa meragukan dalam pemilihan sayap itu.
“Kami tak pernah mempertikaikan ketelusan JPP, cuma persoal kaedah keputusan dibuat. Perwakilan akar umbi perlu dimaklumkan asas bantahan itu. Sehingga kini masih tidak tahu apa terjadi serta bahagian mana yang ditolak undi atau bermasalah.
“Yang menjadi pertikaian juga adalah bidang kuasa JPP, bukan kami nak kata mereka tak adil tapi punca kuasa,” katanya kepada FMT.
Pada 30 Okt lalu, JPP nafi wujud unsur campur tangan dalam menentukan keputusan sayap Pemuda, yang menyaksikan Adun Gombak Setia Hilman Idham menewaskan pencabarnya Akmal Zahin Zainal Zahir pada pemilihan penggal 2024-2027.
Ia selepas Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Muhammad Faiz Rahmad mempersoalkan proses pengumuman JPP pada 27 Okt, yang membuka ruang bantahan hingga 10 pagi 28 Okt, walaupun keputusan sayap itu belum dibuat.
Katanya, ia ‘luar kebiasaan’ kerana bantahan sepatutnya hanya boleh dibuat selepas keputusan diumumkan.
Hilman memperoleh 1,888 undi mengatasi 170 undi berbanding Zahin yang meraih 1,718 undi.
Pengerusi JPP, Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata sebanyak 27 aduan diterima berkait pemilihan pada 26 Okt itu, dengan aduan dibuat kem Hilman dan Zahin selain wakil JPP yang bertugas di bahagian.
Azim menegaskan kes berkenaan โsudah ditutupโ dan meminta semua pihak yang bertanding menerima hakikat.
Sementara itu, Meor berkata isu pertikaian keputusan pemilihan sayap ketika ini tidak akan menjejaskan kerjasama dan gerak kerja dalam kalangan ahli pada masa akan datang.
“Masa akan meredakan segala pertikaian,” katanya mengimbas isu sedemikian yang berlaku ketika pemilihan parti pada 2020 namun ia akhirnya ‘selesai’.