PETALING JAYA: Perbalahan terbuka pemimpin DAP Pulau Pinang mengenai ‘rampasan’ peruntukan baru-baru ini menunjukkan rasa tidak puas hati yang berlarutan mengenai keputusan pemilihannya, dakwa sumber dalaman.
Sumber DAP memberitahu FMT, terdapat rasa tidak senang dalam kalangan pihak tertentu atas kegagalan calon pilihan mereka dipilih dalam barisan pentadbiran negeri.
Ramkarpal Singh, Steven Sim dan Zairil Khir Johari meraih tempat pertama, kedua dan keempat dalam pemilihan DAP Pulau Pinang pada 22 Sept lalu.
Susulan pemilihan parti, Sim, menteri sumber manusia dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, dinamakan pengerusi parti negeri bagi penggal 2024-2027.
Sumber itu, yang enggan dikenali, berkata ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada generasi baharu pemimpin DAP Pulau Pinang yang telah ‘menggoncang status quo’.
“Prestasi cemerlang telah membantu mereka mendapat pengaruh yang besar dalam kepimpinan negeri.”
Bagaimanapun, sumber itu berkata, keputusan pemilihan terbabit menyebabkan ahli kanan bimbang bahawa pendapat mereka mungkin tidak dihiraukan dalam proses membuat keputusan jawatankuasa baharu berkenaan.
“Pertukaran orang lama dan kebangkitan pemimpin muda seperti Sim, Ramkarpal dan Zairil telah menyebabkan pertikaian ini.”
Sumber itu merujuk kepada kritikan diterima Zairil daripada dua ADUN DAP Pulau Pinang berhubung kenyataannya bagi menjawab aduan pengerusi parti dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berhubung kekurangan peruntukan di kawasannya.
Lim mendakwa sebahagian daripada peruntukan RM5.6 juta untuk kawasannya telah ‘dirampas’ untuk digunakan di kawasan berdekatan yang dikuasai pembangkang Tasek Gelugor.
Zairil, Exco Pulau Pinang, menjelaskan bahawa RM1.4 juta telah digunakan untuk menyelenggara sebahagian daripada jalan persekutuan yang menghubungkan dua kawasan parlimen yang terletak di dalam sempadan Tasek Gelugor.
Beliau berkata peruntukan itu ‘dipulangkan’ kepada Bagan.
Bagaimanapun, Adun K Kumaran (Bagan Dalam) dan Chee Yee Keen (Bagan Jermal) mengkritik Zairil berhubung jawapannya kerana menganggapnya sebagai ‘perkara kecil’.
Namun, beberapa pemimpin DAP lain yang tidak mahu nama mereka disiarkan, menyeru rakan mereka memelihara perpaduan parti.
“Fokus harus diberikan kepada mengukuhkan kedudukan DAP di Pulau Pinang dan bersiap sedia untuk pilihan raya akan datang, bukan perbalahan,” kata seorang pemimpin.