PETALING JAYA: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United menitip doa buat rakyat Malaysia, khasnya mangsa banjir.
Catatan dalam bahasa Melayu itu dimuat naik ke Facebook rasminya malam tadi.
“Kepada rakyat Malaysia, jaga diri pada musim hujan ini.
“Kami sentiasa di belakang anda rakyat Malaysia!
“Kepada mangsa banjir yang terjejas, semoga dapat mengatasi cabaran ini dengan baik dan selamat,” demikian menurut mesej itu.
Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 102,253 mangsa banjir daripada 31,231 keluarga ditempatkan di 643 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri terjejas, setakat 9 malam tadi.
Keadaan di Kelantan paling teruk dengan 74,828 mangsa daripada 23,251 keluarga ditempatkan di 269 PPS di 10 daerah terjejas.
Ia disusuli Terengganu dengan 20,119 mangsa di 281 PPS di lapan daerah, Kedah (3,921 mangsa di 49 PPS), Negeri Sembilan (2,111 mangsa di 23 PPS), Perlis (473 orang di empat PPS), Melaka (180 orang di lima PPS), Selangor (487 orang di dua PPS), Johor (114 mangsa di sembilan PPS) dan Perak (20 mangsa di sebuah PPS).