PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan daripada sembilan orang saksi termasuk pengadu dalam siasatan ke atas kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), sehingga kini.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar berkata siasatan mendapati pelatih itu menyertai Palapes di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sejak Oktober tahun ini, dan sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas tahun depan.
“Pada hari kejadian, si mati telah didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian. Si mati dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh rebah,” menurut kenyataan.
Katanya lagi, pelatih itu dirawat di wad kecemasan zon merah Hospital Shah Alam, dan semasa rawatan awal, si mati dalam keadaan separa sedar dan mengalami suhu badan yang tinggi.
Rawatan awal diberikan dalam usaha untuk hidrasi si mati namun tidak memberikan tindak balas positif, tambahnya.
“Si mati telah mengalami kekejangan dan rawatan susulan telah diberikan sebelum si mati dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi Hospital Shah Alam,” katanya.
“Tiada terkesan sebarang kecederaan luaran pada badan si mati.”
Menurut polis, pelatih itu disahkan meninggal dunia pada 13 Nov, pada lebih kurang 2.01 pagi.
“Punca kematian adalah disebabkan ‘heat stroke with multiorgan failure’,” katanya.
“Siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.”
Hussein berkata polis menerima laporan polis oleh bapa pelatih itu pada petang 15 Nov, menyatakan beliau menerima panggilan telefon daripada Hospital Shah Alam pada 10 Nov tentang anaknya dimasukkan ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Polis berkata individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah ASP Mohd Khairi Bin Kamaruddin di talian 012-2666025.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelatih Palapes di sebuah universiti tempatan, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, meninggal dunia pada 13 Nov lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapanya mendakwa Amir mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Katanya, pelatih itu dibiarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tengah padang dalam cuaca terik selama lebih kurang 30 minit sebelum dibantu oleh rakan.
Terdahulu, angkatan tentera menegaskan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini, dan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci.
UiTM pula berkata ia telah melaksanakan penelitian semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisma pemantauan berhubung aktiviti kokurikulum badan beruniform.