KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam sindiket yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu atas nama sebuah syarikat telekomunikasi untuk menipu pengguna telefon bimbit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek berusia 39 hingga 46 tahun itu ditahan dalam satu operasi di sekitar lembah Klang pada 19 Nov lalu.
Katanya, modus operandi sindiket itu adalah membawa peranti Base Transceiver Station (BTS) dalam sebuah kenderaan ke lokasi tumpuan orang ramai sebelum menyebarkan SMS palsu kepada nombor telefon di kawasan sekitar.
“Aktiviti sindiket ini terbongkar susulan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi terhadap aduan seorang lelaki yang kehilangan sejumlah wang selepas mengisi pautan dalam SMS yang diterima itu.
“Pengadu mengisikan beberapa butiran penting termasuklah maklumat perbankan dan nombor OTP (One Time Password) sebelum mendapati wang RM1,500.72 dalam akaun bank miliknya hilang,” katanya pada sidang media Bukit Aman.
Turut hadir dalam sidang media itu Timbalan Pengarah Pengurusan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin.
Ramli berkata susulan tangkapan itu polis merampas beberapa barangan termasuk tiga bateri, dua transformer, dua modul GSM, dua modem, dua unit kawalan jauh kereta serta dua kenderaan jenis SUV.
Katanya, mereka yang ditahan termasuk penyelia sindiket, pembantu penyelia, pemandu, dan operator BTS palsu.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 12 kes sama yang melibatkan kerugian sebanyak RM116,271.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.
Sementara itu, Zulkarnain memaklumkan sejak 3 Mei lalu semua syarikat telekomunikasi diarahkan untuk tidak meletakkan sebarang pautan di dalam SMS kepada pelanggan.
“SKMM terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dalam mengekang penyebaran mesej palsu peranti BTS ini,” katanya yang turut memaklumkan peranti itu boleh mengganggu perkhidmatan dan isyarat telefon bimbit.