PETALING JAYA: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mencadangkan kerajaan melaksanakan program ‘Trap-Neuter-Return’ (TNR), pendekatan lebih berperikemanusiaan dalam menangani masalah haiwan terbiar.
NGO itu berkata pendekatan terbabit terbukti berkesan dalam mengawal populasi tanpa kekerasan, sambil menyokong seruan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob supaya kerajaan mengkaji semula Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Kami percaya kajian semula dan pindaan terhadap akta ini amat penting untuk memastikan perlindungan yang lebih berkesan terhadap haiwan terbiar, terutama dalam menangani kekejaman seperti amalan tembak sesuka hati terhadap haiwan.
“Kami berharap pindaan yang dicadangkan dapat melibatkan larangan keras terhadap tembakan haiwan serta mewujudkan mekanisme lebih berkesan bagi pengurusan haiwan terbiar,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menegur pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap haiwan terbiar.
Beliau menggesa PBT mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang telah diluluskan oleh Parlimen.
Pada 12 Nov lalu, kira-kira 100 orang hadir di bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bagi membantah tindakan membunuh anjing liar.
Ismail antara Ahli Parlimen yang menerima memorandum daripada kumpulan berkenaan.
Ia susulan laporan media baru-baru ini apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu menerima aduan awam mengenai video tular yang mendakwa PBT menembak mati seekor anjing bernama Kopi. Jabatan itu dilapor berkata kes sedang disiasat mengikut Akta Kebajikan Haiwan.
Semantara itu, SAFM menggesa kerajaan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, PBT, dan NGO berkaitan dalam usaha menyelesaikan masalah populasi haiwan terbiar dengan lebih sistematik dan berkesan.
“Kerjasama ini akan memastikan pelaksanaan lebih komprehensif dan memberi manfaat kepada haiwan serta masyarakat.
“SAFM berterima kasih kepada Ismail Sabri Yaakob atas perhatian beliau terhadap kebajikan haiwan terbiar dan komitmen beliau dalam memperjuangkan perlindungan yang lebih baik untuk haiwan,” katanya.