KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia merekodkan jumlah mangsa berulang berkaitan jenayah penipuan dalam talian (scam) dengan lebih 2.5 kali jenayah itu berlaku kepada mangsa sama.
Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling, berkata ia disusuli Hong Kong dan Thailand, menurut kajian Asia Scam Report 2024 oleh Global Anti-Scam Alliance.
“Ada dua perkara merisaukan, iaitu individu berulang kali menjadi mangsa scam dan mempunyai kemampuan rendah membezakan jenayah penipuan membabitkan kecerdasan buatan.
“Mangsa tidak belajar daripada kesilapan lampau. Ia amat merisaukan apabila mereka menjadi mangsa semula kerana tiada kebolehan membezakan sumber…apabila mereka dihubungi pihak berkuasa, mereka tidak dapat membezakan sama ada pihak itu palsu atau benar.”
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Anti Scam “It’s a matter of when” di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak di sini, yang dihadiri lebih 100 peserta terdiri daripada petugas agensi bawah Kementerian Komunikasi serta Komuniti Madani.
Beliau berkata, dengan kursus dan libat urus seperti hari ini, peserta dapat berkongsi maklumat serta memberi advokasi berkaitan jenayah itu kepada masyarakat setempat dengan lebih jelas dan mudah difahami.
“Kita perlu tahu mangsa scam ini tidak mendapatkan sistem sokongan mencukupi daripada orang di sekeliling. Mereka takut, malu dan tidak tahu mendapatkan bantuan.”
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan jenayah penipuan atas talian antara fokus utama kerajaan memerangi peningkatan kes jenayah siber, termasuk judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Untuk itu, kerajaan akan mengguna pakai kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet berkuat kuasa 1 Jan depan.